PENGAJIAN AM BAHARU (MULAI SEPTEMBER 2012)

PENGAJIAN AM BAHARU (MULAI SEPTEMBER 2012)
PENGAJIAN AM PENGGAL 1/2012

JOIN FACEBOOK PENGAJIAN AM

Dapatkan soalan-soalan percubaan dari semua negeri di Group Pengajian Am di www.facebook.com/groups/166833553374513/

TAHNIAH DAN TERIMA KASIH KERANA MENGHARGAI BLOG INI

TAHNIAH DAN TERIMA KASIH KERANA MENGHARGAI BLOG INI

SOALAN RAMALAN KELUAR

SOALAN RAMALAN KELUAR

INFO TERKINI MAKLUMAT SENSASI

KURSUS PENYEBARAN SISTEM PENTAKSIRAN BAHARU STPM 2012 NEGERI JOHOR, 23-24 APRIL 2012

KULIAH MINGGU INI : TEKNOLOGI SATELIT

Rabu, 7 Julai 2010

Teknologi satelit bantu didik pemandu ingkar
Oleh Mohd Mahzan Awang

2010/05/27
TIADA siapa yang mahukan kemalangan. Ia terjadi tanpa diduga. Biarpun banyak kajian, saranan dan usaha dilakukan untuk mencegah kemalangan, tragedi malang ini dilihat sukar dibendung. Ia tetap berlaku.

Sebagai pengguna jalan raya, kita dapat melihat sendiri bagaimana sesebuah kenderaan dipandu secara berbahaya di jalan raya. Ia termasuklah memandu melebihi had laju, terburu-buru memotong kenderaan di depan, melanggar lampu isyarat, memotong di sebelah kiri jalan, mengekori rapat kenderaan serta pelbagai gaya pemanduan yang memang menakutkan pengguna jalan raya. Contoh ini adalah antara penyebab kepada berlakunya kemalangan maut. Pendekatan menyaman dan mendenda pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya adalah amat baik. Malah, ia adalah amalan lazim di mana-mana negara.

Kajian ilmiah mengenai strategi mendisiplinkan seseorang, menyokong keperluan hukuman sebagai satu kaedah mengajar bahawa setiap perlakuan mempunyai akibatnya. Maka, menghukum pemandu yang tidak berdisiplin dilihat amat wajar.

Justeru, pendekatan seumpama ini sudah lama diamalkan, tetapi kemalangan maut tetap terjadi. Usaha tambahan perlu disegerakan. Amat penting sekali ditekankan sekarang ialah memberi fokus kepada usaha mencegah kemalangan menerusi pemantauan dan kepantasan bertindak.

Malah, faktor ‘kepantasan’ sudah menjadi teras kepada polis di seluruh dunia dalam usaha membantu pencegahan apa juga bentuk perlakuan jenayah.
Hari ini, teknologi satelit sudah menjadikan segenap ruang di muka bumi dapat dilihat menerusi skrin komputer. Banyak kenderaan mewah menggunakan aplikasi teknologi ini bagi mengelak berlakunya kecurian kenderaan mereka.

Tambahan pula banyak kamera litar tertutup (CCTV) dipasang untuk memantau keselamatan orang awam. Teknologi sebegini mampu memberi maklumat kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan pantas bagi menghalang risiko kemalangan.

Penyaluran maklumat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) lebih bersifat pengumpulan maklumat untuk siasatan lanjut, bukannya untuk tindakan drastik.

Walaupun ia memang bermanfaat, yang paling penting untuk mencegah kemalangan ialah campur tangan pihak berkuasa pada saat pemanduan berbahaya di lokasi.

Apabila berada di lokasi, pihak berkuasa juga wajar sekali membuat transformasi pendekatan daripada menghukum pemandu kepada membantu pemandu mempertingkatkan kemampuan pemanduan.

Pemanduan berbahaya itu mungkin terjadi ekoran daripada kurangnya kemahiran pemanduan, pemandu berada dalam keadaan tertekan, mungkin juga di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan juga ketidakupayaan pemandu mengendalikan kenderaan di kawasan terbabit.

Tidak mustahil juga pemandu itu terbabit dalam kes jenayah yang berbahaya. Kepantasan pihak berkuasa tiba di lokasi berkenaan, secara automatik risiko kemalangan dapat dikurangkan.

Aplikasi teknologi satelit dan CCTV hakikatnya sudah diamalkan di negara maju termasuk di United Kingdom. Ia menjadi antara kaedah berkesan untuk membantu mengurangkan kemalangan. Kerap kali juga helikopter digunakan untuk membantu pihak berkuasa memberhentikan kenderaan yang dipandu berbahaya bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Di samping budaya masyarakat di United Kingdom yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan, kepantasan pihak berkuasa mengesan pemandu berbahaya turut membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Memang tidak dinafikan bahawa usaha sebegini memerlukan kos tinggi terutama untuk menambah anggota serta keperluan kenderaan peronda bersama teknologi canggih. Namun ia mungkin dapat disegerakan menerusi kerjasama dan usaha sama antara kerajaan dengan syarikat yang terbabit secara langsung dengan kemalangan jalan raya diadakan.

Babitkan syarikat pengurusan risiko seperti syarikat insurans serta pengendali lebuh raya untuk mengurangkan kemalangan. Mungkin juga kerajaan boleh mempertimbangkan syarikat kawalan keselamatan untuk terbabit dalam usaha ini.

Mengurangkan risiko kemalangan bermakna menambah keteguhan syarikat insurans serta mengurangkan kos penyelenggaraan lebuh raya. Yang paling penting ialah kita berasa selamat dan terjamin berada di jalan raya. Bagaimanapun, jika berlaku juga kemalangan, itu adalah takdir Ilahi yang di luar kawalan manusia.

Penulis ialah pensyarah fakulti pendidikan UKM, kini melanjutkan pengajian
di Universiti Dundee, United Kingdom

0 comments:

Catat Ulasan

10 Tahun Bersama Cikgu hj Wahid Bilaji - Terima Kasih Cikgu! Slideshow: Razali’s trip from Johor, Malaysia to Kluang was created by TripAdvisor. See another Kluang slideshow. Create your own stunning slideshow with our free photo slideshow maker.
 
 
 

LAMAN PEMINAT

WADAH KECEMERLANGAN TINGKATAN 6

WADAH KECEMERLANGAN TINGKATAN 6
Majlis Perhubungan Pengetua Tingkatan 6 Johor