PENGAJIAN AM BAHARU (MULAI SEPTEMBER 2012)

PENGAJIAN AM BAHARU (MULAI SEPTEMBER 2012)
PENGAJIAN AM PENGGAL 1/2012

JOIN FACEBOOK PENGAJIAN AM

Dapatkan soalan-soalan percubaan dari semua negeri di Group Pengajian Am di www.facebook.com/groups/166833553374513/

TAHNIAH DAN TERIMA KASIH KERANA MENGHARGAI BLOG INI

TAHNIAH DAN TERIMA KASIH KERANA MENGHARGAI BLOG INI

SOALAN RAMALAN KELUAR

SOALAN RAMALAN KELUAR

INFO TERKINI MAKLUMAT SENSASI

KURSUS PENYEBARAN SISTEM PENTAKSIRAN BAHARU STPM 2012 NEGERI JOHOR, 23-24 APRIL 2012

HANYA SOALAN RAMALAN ...... ANDA PERCAYA??

Isnin, 22 November 2010

BAHAGIAN A

  1. Kita jarang melihat sumbangan sukan dari segi budaya di sebalik melihat sumbangannya dari segi ekonomi semata-mata. Berikan ulasan anda tentang pernyataan di atas.
  2. Masalah penggangguran dalam kalangan siswazah bukanlah semata-mata disebabkan oleh mereka sendiri, tetapi disebabkan faktor-faktor lain. Sejauh manakah anda bersetuju dengan pernyataan di atas?
  3. Aplikasi teknologi satelit merupakan manfaat daripada kemajuan sains dan teknologi. Namun masih terdapat kesan negatif daripada penggunaannya. Bincangkan.
  4. Hari Harta Intelek Sedunia yang disambut pada 26 April setiap tahun adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang apa itu harta intelek dan bagaimana dapat hari tersebut menggalakkan bukan sahaja perkembangan muzik, kesenian dan hiburan tetapi juga inovasi produk dan teknologi. Bincangkan punca dan kesan penciplakkan harta intelek.
  5. Pertubuhan Bukan Keraajaan (NGO) telah bergiat secara aktif dalam mengatasi masalah sosio ekonomi negara. Namun demikian, badan ini menghadapi pelbagai masalah dalam menjalankan tugas mereka. Huraikan.
BAHAGIAN B

  1. Teknologi Angkasa Lepas

Bahagian D

  1. Graf Garis

Bahagian E

  1. Ulasan Gambar

SOALAN RAMALAN STPM 2010

Khamis, 11 November 2010

Pelajar-pelajar yang dikasihi. Minggu depan merupakan minggu terakhir sebelum anda menduduki peperiksaan STPM 2010. Cikgu harap anda semua telah cukup bersedia untuk mengharungi peperiksaan yang sememangnya sangat sukar.

Terima kasih kepada anda kerana menyokong blog Pengajian Am ini sehingga pengunjung bertambah dengan begitu pantas. Cikgu sangat-sangat menghargai sokongan anda semua. Cikgu membina blog ini adalah semata-mata untuk anda.

Ramai pelajar meminta soalan ramalan tahun 2010. Cikgu akan mengirimkan soalan tersebut kepada anda melalui email. Pelajar-pelajar yang telah mengirimkan email kepada cikgu akan menerima soalan ramalan tersebut dalam waktu terdekat.

Terima kasih dan semoga anda semua berjaya memperolehi A dalam Pengajian Am STPM 2010!

RAWATAN PEMULIHAN PENYAKIT MENTAL

Rabu, 13 Oktober 2010

Masalah mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Kini, masalah mental menjadi salah satu ancaman utama kepada seluruh penduduk dunia dan penduduk Malaysia khususnya.

Daripada data yang diperoleh, sekurang-kurangnya seorang daripada sembilan penduduk di Malaysia mengalami sakit mental bermula daripada kemurungan sehingga ke tahap skizofrenia.

Golongan sakit mental merangkumi mereka yang gagal menyesuaikan diri dengan ketegangan dan gagal mengatasinya seperti masalah rumah tangga, ekonomi dan tekanan kerja.

Mereka yang gagal membuang tabiat merokok, meminum minuman keras, menghidu gam, mengambil dadah dan berjudi juga tergolong dalam pesakit mental.

Fakta Masalah mental merangkumi semua peringkat umur daripada kanak-kanak hingga peringkat tua.

Bagi kanak-kanak misalnya malu untuk makan dan ke tandas, takut ke sekolah dan hiperaktif juga termasuk dalam golongan mereka yang mengalami gangguan mental.

Bagi golongan tua pula, antara penyakit mental yang dikesan ialah nyanyuk dan mengalami kemurungan.

Pada umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang pertama penyakit psikosis.

Pada tahap teruk, seseorang yang mengalami penyakit mental psikosis mungkin kehilangan hubungan dengan alam nyata.

Antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah skizofrenia dan psikosis manik depresif. Kumpulan kedua ialah penyakit yang bukan psikosis atau neurosis.

Mungkin kita pernah mengalami perasaan sedih, resah dan tertekan. Pengalaman ini merupakan pengalaman biasa dalam kehidupan kita.

Apabila perasaan biasa ini dan tingkah laku tertentu berlaku secara tidak terkawal dan berlarutan sehingga mengganggu kehidupan harian seseorang dan menjejaskan hubungan dengan orang lain, ia mungkin mengalami salah satu penyakit mental jenis ini.

Di antara penyakit-penyakit jenis ini termasuklah ketakutan yang tidak berasas (fobia), keresahan (anxiety), kemurungan (depression) dan obsesif kompulsif.

Seseorang yang mendapat penyakit mental mengalami gangguan fungsi mentalnya.

Penyakit mental boleh berbeza dari segi jangkamasa sakit dan tahap gangguan terhadap aktiviti harian.

Penyakit mental boleh bersifat sementara dan boleh berulang-ulang di sepanjang hayat seseorang.

Kebanyakan pengidap penyakit mental hanya mengalami satu episod sahaja, tidak serius dan pulih dengan sempurna selepas rawatan.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya masalah mental.

Faktor pertama yang menyumbang kepada masalah mental ialah faktor genetik dan keturunan.

Seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah mental berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan.

Terdapat kajian yang menunjukkan kebarangkalian 1:100 peluang untuk seseorang dalam keluarga mendapat penyakit skizofrenia jika ada dalam ahli keluarganya mengidap penyakit tersebut berbanding 1:10 dalam masyarakat umum.

Faktor kedua ialah gangguan bahan kimia dalam otak sebagai contoh penghasilan dopmin secara berlebihan menyebabkan masalah skizofrenia dan paras serotonim terlalu rendah menyebabkan masalah kemurungan.

Apabila bahan kimia dalam otak yang dikenali neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan berlaku. Faktor lain ialah jangkitan virus, sejarah hidup yang getir dan keadaan sosioekonomi yang rendah.

Selain itu, bagi tujuan rawatan pula terdapat beberapa jenis penyakit mental yang memerlukan rawatan segera seperti neurosis, penyakit mental organik seperti nyanyuk, gangguan personaliti, autism, hiperaktif, ketagihan dadah dan cubaan membunuh diri.

Antara rawatan yang sering digunakan bagi merawat penyakit-penyakit ini ialah psikoterapi dan kaunseling, rawatan psikotropik, rawatan tingkahlaku dan rawatan elektrokonvulsif.

01.Rawatan kaunseling boleh membantu pesakit memahami keadaan diri dan perasaannya dengan lebih mendalam dan rawatan ini diberikan secara pesakit luar.

02.Rawatan psikotropik menggunakan berbagai jenis ubat-ubatan yang dikelaskan sebagai ubat psikotropik dan digunakan untuk rawatan penyakit mental.

Ubat-ubatan antipsikotik boleh mengurangkan atau menghapuskan gejala-gejala psikosis. Sementara ubat-ubatan jenis lain boleh mengurangkan tekanan, kemurungan dan keresahan (anxiety) sehingga pesakit dapat mengendali gejala-gejala penyakitnya dengan lebih baik.

01.Rawatan tingkahlaku pula memberi tumpuan kepada membantu pesakit mengubah cara berfikir atau tingkahlaku tertentu yang mengganggu dan menimbulkan gejala penyakit. Teknik releksasi merupakan satu contoh rawatan jenis ini.

02.Rawatan elektrokonvulsif diberikan melalui pengaliran elektrik bervoltan amat rendah merentasi otak seseorang. Rawatan jenis ini adalah selamat, tidak berbahaya dan biasanya digunakan untuk merawat penyakit kemurungan yang serius.

Pada masa kini, masyarakat mengangap mereka yang mengalami masalah mental sebagai satu ancaman kepada keselamatan mereka kerana akhbar sering melaporkan pelbagai kes amuk, bunuh dan gangguan-gangguan yang dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah mental.

Keadaan ini menyebabkan masyarakat membuat tanggapan negatif kepada mereka yang mengalami masalah mental ini tanpa mengkaji sebab mereka berkelakuan sedemikian.

Masyarakat tidak didedahkan secara sepenuhnya mengenai penyakit mental ini. Masyarakat hanya memandang pesakit mental adalah orang 'gila'.

Tetapi jika diperhatikan kembali hanya terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai pengetahuan mengenai masalah mental sahaja yang dapat menerima serta membantu para pesakit mental.

Peranan masyarakat dalam penerimaan golongan ini hanya boleh dicapai apabila setiap individu dalam masyarakat mempunyai pengetahuan mengenai penyakit mental secara umum.

Mungkin pendedahan ini boleh diberikan di peringkat sekolah memandangkan sekolah merupakan medium terbaik dalam penjanaan ilmu pengetahuan serta memupuk sikap para pelajar dan masyarakat.

Pesakit mental tidak seharusnya dipinggirkan oleh masyarakat kerana mereka yang mengalami masalah mental mempunyai peluang untuk pulih semula dan menjadi sebahagian daripada masyarakat.

Mereka sepatutnya diberi perhatian kerana ada dalam kalangan mereka mengalami tekanan dalam hidup yang berat sehingga mereka cenderung menghidap masalah mental.

Tiada siapa yang mahu membantu untuk meringankan beban hidup mereka.

Oleh itu, setiap individu perlu mengubah perspektif negatif mereka terhadap pesakit mental dan memberikan sokongan-sokongan yang diperlukan agar mereka tidak merasa terpinggir daripada kelompok masyarakat.

KULIAH PENYAKIT MENTAL

Selasa, 12 Oktober 2010


Bahan Kuliah yang disediakan oleh Puan Salmiah Ramli

KULIAH MINGGU KE 35 : PENYAKIT MENTAL

CONTOH SOALAN :
Skizofrenia merupakan penyakit mental di tahap kronik. Nyatakan kaedah atau rawatan-rawatan yang boleh dilakukan bagi memulihkan penyakit mental.

Skizofrenia perlu rawatan holistik.

MEREKA sering mendakwa mendengar bisikan yang mendesak mereka untuk melakukan sesuatu yang kononnya dapat menyelamatkan dunia.


Itu keadaan yang sering kita dengar membabitkan pesakit skizofrenia atau sakit mental sehingga menimbulkan rasa gusar di hati masyarakat.

Namun penyakit itu boleh diubati sekiranya pesakit mengikuti kaedah rawatan yang betul dan berterusan.


Sekiranya pesakit menjalani rawatan yang ditetapkan di hospital, peluang mereka untuk sembuh adalah tinggi dan secara tidak langsung mereka bebas sepenuhnya daripada penyakit itu.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Abdul Kadir Abu Bakar berkata, kebanyakan pesakit mental yang terbabit dalam jenayah adalah di kalangan mereka yang tidak mendapatkan rawatan yang berterusan.

Lebih membimbangkan, katanya, pesakit yang gagal mendapatkan rawatan berpotensi empat kali ganda terdedah untuk melakukan jenayah termasuk membunuh serta mencederakan diri sendiri dan orang lain.


“Pesakit skizofrenia ini lazimnya mengalami delusi dan halusinasi sehingga mempengaruhi perlakuan dan emosi mereka.

“Mereka sering memberi alasan mendengar bisikan yang mendesak mereka untuk melakukan perbuatan itu sehingga mendorong mereka melakukan jenayah tanpa disedari,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah sempena Hari Kesedaran Psikiatri 2010 baru-baru ini.

Skizofrenia adalah masalah gangguan neurologi yang memerlukan rawatan dan sekiranya pesakit tidak diberi rawatan, simptomnya semakin buruk manakala fungsi otak pesakit akan semakin merosot.

Pesakit skizofrenia akan mengalami kecelaruan dalam aspek pemikiran, emosi dan perilaku. Ia tidak lagi dapat memberi tumpuan pada keadaan realiti dan adakalanya dilihat seolah-olah berada dalam dunianya sendiri.

Mereka akan berasa seolah-olah dihujani pelbagai rangsangan yang berlaku di sekeliling mereka, oleh itu mereka mudah berasa takut, tidak tentu arah tujuan dan akan menunjukkan perilaku luar biasa.

Penyakit ini memerlukan rawatan holistik dan selain ubat-batan, sokongan keluarga sangat penting untuk membawa pesakit kembali ke alam normal.

Hampir 80 peratus pesakit yang mengikuti rawatan yang berterusan pulih sepenuhnya dan kembali menjalani kehidupan normal.

Namun ada juga pesakit yang enggan menjalani rawatan susulan akibat dikekang beberapa faktor termasuk masalah kewangan.

“Ada sesetengah pesakit bosan mengikuti prosedur rawatan setiap bulan malah ada yang beranggapan diri mereka sudah pulih sepenuhnya.

“Jumlah pesakit yang enggan meneruskan rawatan agak besar iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah pesakit mental di negara ini,” katanya.

Setiap tahun, terdapat kira-kira 2,000 kes baru skizofrenia dicatatkan. Walaupun jumlah berkenaan masih lagi berada di bawah paras terkawal, ia perlu diberikan perhatian serius.

Beberapa faktor dikenalpasti sebagai penyumbang bagi seseorang menghidap penyakit ini antaranya faktor keturunan, penyalahgunaan dadah, kecederaan kepada akibat kemalangan dan kelahiran pramatang.

Abdul Kadir berkata, keluarga yang mempunyai ahli menghidap skizofrenia perlu peka dan memantau perubahan sikap mereka.

“Kadang kala mereka (pesakit mental) ini kelihatan normal tetapi pergerakan dan perlakuan mereka perlu diawasi selalu.

“Ada sesetengah kes di mana keluarga pesakit langsung tidak mengetahui ada ahli keluarga mereka menghidap penyakit mental itu kerana tidak pernah menyedari perubahan pesakit,” katanya.

Menurutnya, penghidap skizofrenia biasanya tidak menunjukkan perubahan sikap yang ketara tetapi menunjukkan tanda-tanda seperti berkelakuan pelik atau tingkah laku tidak stabil.

Golongan remaja dan mereka yang berusia awal 20-an antara kumpulan yang berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini.

Katanya, walaupun ada pesakit yang sudah pulih sepenuhnya namun masyarakat masih lagi melemparkan stigma negatif terhadap mereka.

Bagi mereka, bekas pesakit mental ini perlu dijauhi kerana seolah-olah golongan itu berpotensi untuk mencederakan mereka.

“Tanggapan itu harus diperbetulkan kerana ramai yang tidak sedar pesakit boleh sembuh sepenuhnya jika menjalani rawatan yang sewajarnya.

“Ada juga bekas pesakit yang didiskriminasi dalam apa juga yang dilakukan termasuk tidak diberi pekerjaan yang setimpal dengan kemahiran dan kelulusan mereka hanya kerana pernah menghidapi skizofrenia,” katanya.

Tindakan itu adalah tidak adil kepada bekas pesakit ini kerana mereka juga harus diberi peluang untuk hidup normal seperti orang lain.

Jika berterusan, keadaan itu dikhuatiri memberi tekanan kepada bekas pesakit dan sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk menghidap semula penyakit itu.

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my
2010/10/09

PEPERIKSAAN PERCUBAAN STPM 2010 NEGERI JOHOR (Jumaat 3/9/2010)

Jumaat, 3 September 2010

Kepada semua pelajar (follower), anda boleh cuba menjawab soalan-soalan ini dan emailkan kepada cikgu untuk penilaian (markah).

Bahagian A
1. Walaupun blog merupakan salah satu laman sosial yang mempunyai kepentingan tertentu, namun penggunaannya turut menimbulkan kesan negatif. Bincangkan
2. Sukan memainkan peranan penting kepada pembangunan sesebuah negara. Bincangkan cabaran yang dihadapi oleh industri sukan sejak akhir-akhir ini.

Bahagian B
1. Kepupusan fauna menimbulkan pelbagai impak terhadap alam sekitar. Pelbagai usaha perlu dilakukan bagi menangani permasalahan tersebut. Ulaskan penyataan berkenaan.
2. Penggunaan bahan kosmetik yang semakin popular kini boleh memudaratkan kesihatan. Bincangkan

KULIAH PRA U 1 : ANCAMAN PENYAKIT KARDIOVASKULAR

Khamis, 22 Julai 2010

Ancaman penyakit kardiovaskular
Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my
2010/07/22

Penyalahgunaan alkohol beri kesan lebih serius terhadap jantung wanita muda berbanding lelaki

ANDA wanita muda yang menjalani gaya hidup moden, merokok dan mengambil minuman beralkohol? Jika satu atau lebih daripada ciri berikut menepati kriteria diri anda, berwaspada kerana anda mungkin berisiko mendapat penyakit kardiovaskular pada usia muda. Fakta diperoleh daripada Penerbitan Harvard Health pada Februari 2010 pula menyatakan bahawa penyalahgunaan alkohol mempunyai kesan lebih serius terhadap jantung wanita berbanding lelaki. Ini kerana badan wanita menyimpan alkohol lebih lama disebabkan paras enzim pengurai alkohol di dalam hati yang lebih rendah menyebabkan kepekatan alkohol lebih tinggi untuk tempoh lebih lama dalam darah wanita.

Selain gaya hidup urban, jangka hayat wanita di negara ini yang semakin meningkat iaitu mencecah 76.4 tahun juga menyumbang kepada peningkatan kes penyakit berkaitan kardiovaskular dan dijangka menjadi antara punca kematian umum di kalangan wanita tempatan.

Ketua Jabatan Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Rosli Mohd Ali, berkata faktor risiko seperti kencing manis, kegemukan, gaya hidup tidak aktif dan tabiat merokok memberi kesan berbeza terhadap kesihatan jantung wanita.

“Lazimnya, wanita lanjut usia yang menghidap hipertensi dan gadis muda yang merokok biasanya menghadapi risiko penyakit jantung koronari (PJK).
“Bagaimanapun, wanita yang merokok atau mengambil minuman beralkohol menghadapi risiko lebih tinggi menghidap PJK berbanding lelaki daripada kumpulan sama, khususnya perokok wanita yang mengambil pil pencegah kehamilan kombinasi,” katanya.

Penggunaan pil cegah hamil dos rendah, terapi hormon kombinasi bagi wanita putus haid dan kerumitan kehamilan atau migrain adalah faktor risiko lain yang mempengaruhi serangan selain sejarah strok awal dalam keluarga atau pernah menghidap strok.

Sejarah diabetes atau penyakit jantung pada usia yang agak muda dalam keluarga (ayah atau adik-beradik lelaki sebelum umur 55 tahun dan ibu atau adik-beradik perempuan sebelum umur 65 tahun) juga akan meningkatkan risiko menghidap sakit jantung dengan ketara.

Dr Rosli berkata, kegemukan pada bahagian abdomen menandakan banyaknya kandungan lemak, malangnya lemak abdomen membebaskan bahan yang mengganggu kegiatan insulin dan menggalakkan penghasilan kolesterol darah.

“Bagi seseorang yang mempunyai tahap kolesterol kurang sihat, perubahan gaya hidup terutama diet sihat dan amalan kecergasan yang baik sebenarnya boleh mengubah tahap kolesterol.

“Bagaimanapun, kepentingan pengurusan kolesterol menjadi lebih ketara apabila digabungkan dengan faktor risiko lain seperti diabetes, merokok dan hipertensi,” katanya.

Justeru, dalam keadaan tahap kolesterol terlampau tinggi atau bagi individu yang mempunyai kombinasi faktor risiko seperti disebut, terapi statin dianggap piawaian utama dalam pengurusan kolesterol menjadi pilihan rawatan paling utama bagi merawat masalah membabitkan koronari.

Pelbagai kajian klinikal yang dijalankan selama ini telah membuktikan bahawa terapi statin adalah terapi paling berkesan untuk menguruskan dislipidemia.

Kajian ke atas satu statin iaitu rosuvastatin menunjukkan keberkesanannya membantu pesakit mencapai matlamat mengurangkan kolesterol.

Bagaimanapun, wanita mempunyai arteri koronari yang menyempit secara sekata atau penyakit mikrovaskular yang lebih sukar untuk dirawat. Jadi, wanita secara umumnya mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk ditawarkan prosedur seperti stent dan pembedahan pintas koronari.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah wanita yang menjalani pembedahan pintasan atau angioplasti biasanya sedekad lebih tua daripada lelaki yang menjalani prosedur yang sama.

Maka mereka mungkin perlu dirawat lebih lama di hospital dan kadar komplikasi dari pembedahan lebih tinggi dan kadar pemulihan lebih lambat daripada lelaki malah kadar kematian juga lebih tinggi (pada minggu-minggu selepas prosedur).

“Kerana itu saya suka mengingatkan bahawa perubahan gaya hidup dan ubat adalah pilihan rawatan pencegahan yang disyorkan,” katanya.


Kaedah mengesahkan sakit jantung?

i. Electrokardiografi (ECG) - boleh menunjukkan kelainan jika ada kerosakan pada bahagian jantung melalui paparan ECG; elektrod akan diletakkan pada titik khusus pada kulit pesakit untuk mengukur gelombang elektrik.

ii. Ekokardiogram (2D echocardiogram) - ujian ini menggunakan gelombang ultrasound dan dapat melihat struktur jantung sama ada bengkak dan dapat menganalisa fungsi denyutan jantung sama ada normal atau terjejas disebabkan kerosakan pada otot jantung.

iii. Ujian tekanan menggunakan ECG - pesakit diminta berjalan di atas pelaju senaman atau diberikan ubatan untuk melajukan denyutan jantung sambil dipantau pada ECG. Kadangkala ujian yang lebih jitu boleh digunakan dengan gabungan ekokardiogram, ujian nuklear dan MRI (magnetic imaging resonance).

iv. Multislice CT scan dengan suntikan contrast - ujian ini membolehkan saluran darah jantung (arteri) dilihat.

v. Angiografi koronari - X-ray yang menggambarkan sekatan dalam arteri koronari. Ujian ini disyorkan bagi mereka yang disyaki mengidap PK, terutama yang mempunyai sakit dada yang tipikal atau bagi mereka yang mempunyai ujian tekanan yang positif.

INFO

Tiga faktor penting perlu diingat


•Dapatkan diagnosis dan nasihat lebih awal

•Lakukan pemeriksaan berkala dan jangan lupa untuk mematuhi rejim rawatan

•Lebih rendah tahap kolesterol, lebih baik bagi mereka yang berisiko tinggi untuk mengidap PK.

Faktor risiko boleh diubah dan tidak boleh diubah bagi PK

Boleh diubah

•Merokok

•Dislipidemia (paras lipid tak normal dalam darah)
Contohnya:
- Tahap kolesterol LDL- (LDL-C , juga dikenali sebagai kolesterol ‘jahat’) yang tinggi
- Trigliserida lebih tinggi
- Tahap kolesterol HDL-rendah (HDL-C dikenali sebagai kolesterol baik’)

•Hipertensi (tekanan darah tinggi)

•Diabetes mellitus type 2*

•Kegemukan

•Pemakanan lemak tinggi, serat rendah

•Kurang bersenam

Tidak Boleh Diubah

•Pernah menghidap PK

•Sejarah PK dalam keluarga dalam lingkungan yang agak muda (ayah atau adik-beradik lelaki mengidap PK sebelum umur 55 tahun dan ibu atau adik-beradik perempuan sebelum umur 65 tahun)

•Usia yang lebih lanjut

•Jantina (lelaki lazimnya mengidap PK 10 tahun lebih muda dari wanita)

PROGRAM ANGKASA : DI MANA HALATUJUNYA?

Rabu, 7 Julai 2010

ORIENTAL DAILY NEWS (6 MEI 2010)
PROGRAM ANGKASA : DI MANA HALATUJUNYA?
IMPIAN BESAR ANGKASA BERMULA DARIPADA ‘KECIL’

Pada tahun 2007, Malaysia kali pertama menghantar angkasawan ke angkasa lepas, diikuti dengan rancangan penghantaran angkasawan yang kedua ke angkasa lepas pada tahun 2015, memandangkan negara kita telah bertekad untuk membangunkan/mempromosikan bidang angkasa. Tetapi bantahan juga diterima kerana ada pembaziran sekiranya penjelajahan ke angkasa lepas hanya untuk membuat teh tarik. Adakah ini merupakan satu-satunya cara untuk membangunkan bidang angkasa?

Klik di sini untuk maklumat sepenuhnya.

KULIAH MINGGU INI : TEKNOLOGI SATELIT

Teknologi satelit bantu didik pemandu ingkar
Oleh Mohd Mahzan Awang

2010/05/27
TIADA siapa yang mahukan kemalangan. Ia terjadi tanpa diduga. Biarpun banyak kajian, saranan dan usaha dilakukan untuk mencegah kemalangan, tragedi malang ini dilihat sukar dibendung. Ia tetap berlaku.

Sebagai pengguna jalan raya, kita dapat melihat sendiri bagaimana sesebuah kenderaan dipandu secara berbahaya di jalan raya. Ia termasuklah memandu melebihi had laju, terburu-buru memotong kenderaan di depan, melanggar lampu isyarat, memotong di sebelah kiri jalan, mengekori rapat kenderaan serta pelbagai gaya pemanduan yang memang menakutkan pengguna jalan raya. Contoh ini adalah antara penyebab kepada berlakunya kemalangan maut. Pendekatan menyaman dan mendenda pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya adalah amat baik. Malah, ia adalah amalan lazim di mana-mana negara.

Kajian ilmiah mengenai strategi mendisiplinkan seseorang, menyokong keperluan hukuman sebagai satu kaedah mengajar bahawa setiap perlakuan mempunyai akibatnya. Maka, menghukum pemandu yang tidak berdisiplin dilihat amat wajar.

Justeru, pendekatan seumpama ini sudah lama diamalkan, tetapi kemalangan maut tetap terjadi. Usaha tambahan perlu disegerakan. Amat penting sekali ditekankan sekarang ialah memberi fokus kepada usaha mencegah kemalangan menerusi pemantauan dan kepantasan bertindak.

Malah, faktor ‘kepantasan’ sudah menjadi teras kepada polis di seluruh dunia dalam usaha membantu pencegahan apa juga bentuk perlakuan jenayah.
Hari ini, teknologi satelit sudah menjadikan segenap ruang di muka bumi dapat dilihat menerusi skrin komputer. Banyak kenderaan mewah menggunakan aplikasi teknologi ini bagi mengelak berlakunya kecurian kenderaan mereka.

Tambahan pula banyak kamera litar tertutup (CCTV) dipasang untuk memantau keselamatan orang awam. Teknologi sebegini mampu memberi maklumat kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan pantas bagi menghalang risiko kemalangan.

Penyaluran maklumat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) lebih bersifat pengumpulan maklumat untuk siasatan lanjut, bukannya untuk tindakan drastik.

Walaupun ia memang bermanfaat, yang paling penting untuk mencegah kemalangan ialah campur tangan pihak berkuasa pada saat pemanduan berbahaya di lokasi.

Apabila berada di lokasi, pihak berkuasa juga wajar sekali membuat transformasi pendekatan daripada menghukum pemandu kepada membantu pemandu mempertingkatkan kemampuan pemanduan.

Pemanduan berbahaya itu mungkin terjadi ekoran daripada kurangnya kemahiran pemanduan, pemandu berada dalam keadaan tertekan, mungkin juga di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan juga ketidakupayaan pemandu mengendalikan kenderaan di kawasan terbabit.

Tidak mustahil juga pemandu itu terbabit dalam kes jenayah yang berbahaya. Kepantasan pihak berkuasa tiba di lokasi berkenaan, secara automatik risiko kemalangan dapat dikurangkan.

Aplikasi teknologi satelit dan CCTV hakikatnya sudah diamalkan di negara maju termasuk di United Kingdom. Ia menjadi antara kaedah berkesan untuk membantu mengurangkan kemalangan. Kerap kali juga helikopter digunakan untuk membantu pihak berkuasa memberhentikan kenderaan yang dipandu berbahaya bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Di samping budaya masyarakat di United Kingdom yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan, kepantasan pihak berkuasa mengesan pemandu berbahaya turut membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Memang tidak dinafikan bahawa usaha sebegini memerlukan kos tinggi terutama untuk menambah anggota serta keperluan kenderaan peronda bersama teknologi canggih. Namun ia mungkin dapat disegerakan menerusi kerjasama dan usaha sama antara kerajaan dengan syarikat yang terbabit secara langsung dengan kemalangan jalan raya diadakan.

Babitkan syarikat pengurusan risiko seperti syarikat insurans serta pengendali lebuh raya untuk mengurangkan kemalangan. Mungkin juga kerajaan boleh mempertimbangkan syarikat kawalan keselamatan untuk terbabit dalam usaha ini.

Mengurangkan risiko kemalangan bermakna menambah keteguhan syarikat insurans serta mengurangkan kos penyelenggaraan lebuh raya. Yang paling penting ialah kita berasa selamat dan terjamin berada di jalan raya. Bagaimanapun, jika berlaku juga kemalangan, itu adalah takdir Ilahi yang di luar kawalan manusia.

Penulis ialah pensyarah fakulti pendidikan UKM, kini melanjutkan pengajian
di Universiti Dundee, United Kingdom

KULIAH MINGGU INI : SISWAZAH MENGANGGUR

Jumaat, 21 Mei 2010

JOHOR BAHARU, 14 Julai 2007 (Bernama) -- Kegagalan siswazah mendapat kerja adalah disebabkan mereka tidak memiliki kemahiran insaniah yang diperlukan majikan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata selain daripada lemah penguasaan bahasa Inggeris, siswazah didapati berfikiran sempit, tiada ciri kepimpinan, semangat kekitaan dan tiada kemahiran berkomunikasi.

"Dalam dialog kita dengan majikan di negara ini, ramai mengatakan graduan universiti tidak diambil kerja kerana tidak memiliki kemahiran insaniah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pelajar ambilan baru Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Ketika ditanya mengenai peratusan siswazah yang tidak diambil kerja kerana faktor itu, Mustapa hanya berkata: "Saya tidak mahu mencetuskan kebimbangan tetapi sesetengah siswazah memang tidak sesuai diambil bekerja."

Beliau berkata kementerian itu akan mengkaji perkara itu secara mendalam dan mencari jalan untuk mengatasi masalah itu bagi membolehkan lebih ramai siswazah diambil bekerja.

Ketika berucap pada majlis itu, Mustapa mengingatkan 5,585 pelajar baru yang mengikuti pengajian peringkat ijazah dan diploma, bahawa pencapaian akademik sahaja tidak akan menjamin kerja.

KULIAH MINGGU KE 17 (6 MEI 2010) : CARTA PAI

Selasa, 4 Mei 2010

Pada minggu ini, para pelajar akan didedahkan kepada Bahagian D iaitu Carta Pai. Carta pai dapat memberi maklumat tentang data sesuatu pemboleh ubah dengan lebih jelas melalui pecahan sektor pemboleh ubah tertentu dalam bentuk bulatan 360.

Carta pai dapat menunjukkan pemboleh ubah yang berbeza misalnya import / eksport negara.

Terdapat 2 jenis carta pai dalam peperiksaan STPM iaitu:
a) Carta Pai bandingan
b) Carta Pai bertingkat





KULIAH MINGGU KE 16 ( 29 APRIL 2010) : PERUBATAN ALTERNATIF

Isnin, 26 April 2010

Pada minggu ini kita akan berbincang tentang perubatan alternatif. Para pelajar akan didedahkan kepada jenis-jenis dan kepentingan / kelebihan perubatan alternatif. Selamat Belajar.

KUANTAN: Pahang bakal menjadi pusat rujukan perubatan alternatif terkemuka dunia pada masa hadapan berdasarkan keupayaannya menjalankan kajian klinikal berasaskan sel stem. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Pahang sedia membuktikan bahawa bidang perubatan alternatif mampu merawat beberapa jenis penyakit kronik walaupun belum mendapat pengiktirafan dunia.

Bagi tujuan itu, katanya, sebanyak 200 jenis sel daripada arnab diambil untuk kajian klinikal berkenaan.

"Selain itu, ia memberi satu dimensi baru bagi kerajaan negeri untuk menjana sumber ekonomi baru berasaskan teknologi tinggi selari dengan matlamat memajukan bidang perubatan untuk kebaikan manusia.

"Hasil daripada ujian klinikal ini akan didokumentasikan dan dibuat perbandingan untuk membuktikan keberkesanan pemindahan sel stem," katanya pada Majlis Pelancaran Pahang Bioscience Sdn Bhd dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) Kajian klinikal antara Pahang Bioscience Sdn Bhd dan Kulliyah Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Eksekutif BCRO Stem Cell Transplantation Sdn Bhd, Amir Ismail, Dekan kulliyah Farmasi UIAM, Profesor Datuk Dr Tariq Abdul Razak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail.

Adnan berkata, maklumat daripada ujian klinikal itu akan dibentangkan dalam persidangan perubatan antarabangsa. Katanya, empat jenis penyakit kronik yang dikenalpasti bagi tujuan kajian ialah AIDS, sindrom down, diabetes dan autisma.

"Sebelum ini, tiada bukti perubatan yang boleh diterima bagi tujuan merawat penyakit kronik ini.

"Bagaimanapun, berdasarkan teknologi canggih, pengalaman dan kepakaran yang ada, ujian klinikal yang bakal dilaksanakan ini akan dapat direalisasikan dengan cemerlang," katanya.

Sumber: Berita Harian

KULIAH MINGGU KE 15 ( 22 APRIL 2010)

Selasa, 20 April 2010

Apakah itu Program Realiti Televisyen ? Kerajaan perlu mengkaji semula program televisyen yang disiarkan oleh stesen TV termasuk rancangan realiti, yang meminjam budaya Barat dengan meluas yang dibimbangi akan mengancam nilai ketimuran rakyat Malaysia.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kajian semula itu bagi memastikan sama ada rancangan realiti yang kini menjadi fenomena bagi setiap isi rumah di Malaysia meninggalkan pengaruh yang baik atau buruk kepada masyarakat, sehingga membawa kepada keruntuhan moral.
 
Minggu ini, kuliah akan bertemakan Program Realiti TV.

KULIAH MINGGU KE 14 ( 15 APRIL 2010)

PILIHANRAYA

Minggu ini pelajar melihat bagaimana sesuatu pilihan raya itu berlangsung. Kuliah akan berkisar dari sejarah awal hinggalah pilihan raya kecil yang akan diadakan di Hulu Selangor dan Sibu. Cikgu harap pelajar turut memberi tumpuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

KULIAH MINGGU KE 13 ( 8 APRIL 2010)

Bagaimana dengan tugasan Tenaga Alternatif? Cikgu harap anda semua telah berjaya menyiapkan esei dan insyaallah, esei terbaik akan cikgu uploadkan ke dalam blog ini. Minggu ini pelajar akan didedahkan bagaimana untuk merumus carta pai dan graf bar. Cikgu harap para pelajar dapat menguasai keseluruhan teknik menganalisa data untuk media carta pai dan graf bar.

KULIAH MINGGU KE 12 ( 1 APRIL 2010)

Pelajar yang dikasihi sekalian. Pada minggu ini, kuliah berkaitan laras sains yang bertemakan Tenaga Alternatif. Fokus pada kali ini adalah berkaitan:
1. Jenis-jenis tenaga alternatif
2. Penggunaan tenaga alternatif
3. Kepentingan tenaga alternatif

KULIAH MINGGU KE 10 (11 MAC 2010)

Salam Sejahtera. Minggu ini kuliah akan berkisar kepada laras sastera yang berkaitan tema PERPADUAN. Perkara yang sentuh dalam kuliah adalah berkaitan:
1. Program Perpaduan
2. Langkah meningkatkan perpaduan di Malaysia

Selamat Belajar.

KULIAH MINGGU KE 9 (4 MAC 2010)

Pada minggu ini pelajar-pelajar akan didedahkan kepada Sistem Perundangan Malaysia. Para pelajar akan mendapat maklumat berkaitan:
1. Sumber Perundangan Malaysia
2. Jenis-jenis
3. Badan Perundangan Malaysia

Selamat Belajar!

SOALAN RAMALAN STPM 2010

Khamis, 15 April 2010

Apakah anda faham dengan istilah “ekonomi hijau” yang menjadi asas tema Hari Alam Sekitar Sedunia 2010? Bincangkan.

PENILAIAN KURIKULUM KALI 1 / 2010

Ahad, 28 Mac 2010

Alhamdulilah, PK1 telah berlangsung minggu lepas (22 - 26 Mac 2010). Kelemahan pelajar yang paling jelas adalah di Bahagian A, D dan E. Ramai pelajar yang salah media (Markah 01) dan juga tidak menulis pola yang betul di Bahagian E. Kita akan bincangkan kelemahan anda semasa Tutorial pada hari Selasa 30 Mac 2010. Jangan lupa bawa kertas soalan anda. Jumpa lagi

TAHNIAH JOHN SOO

Jumaat, 26 Februari 2010

TAHNIAH JOHN SOO ... PELAJAR TERBAIK STPM NEGERI JOHOR

KULIAH MINGGU KE 8 (25 FEB 2010)

Khamis, 25 Februari 2010

Salam sejahtera. Kuliah untuk minggu ini adalah berkaitan bahagian D. Pelajar-pelajar akan didedahkan dengan GRAF GARIS. Graf garis yang akan diajar adalah seperti berikut:
1. Graf Garis Kompaun / Bandingan
2. Graf Garis Gomponen
3. Graf Garis Memesong / Cermin

Selamat Belajar.

TAHNIAH : 4 ORANG PELAJAR STK MENDAPAT 4 A DALAM STPM 2009

Rabu, 24 Februari 2010

Tahniah kepada 4 orang pelajar yang mendapat 4 A dalam peperiksaan STPM 2009. Mereka akan menerima anugerah di Skudai, Johor Bahru pada hari esok. Semoga kejayaan mereka menjadi pendorong kepada semua pelajar. Mereka yang berjaya ialah:
1. Chua Wei Jian
2. Lai Man Hong
3. John Soo
4. Chia Fun Liang















Tahniah !

ANDA TANYA - CIKGU RAZALI JAWAB

Sabtu, 20 Februari 2010

Salam Sejahtera. Mulai bulan Mac 2010, cikgu membuka ruangan khas kepada semua pelajar untuk bertanya dan mendapatkan panduan ringkas daripada Cikgu Razali. Jika anda ada masalah dalam pengajaran dan pembelajaran Pengajian Am, sila beri komen diruangan ini. Semoga segala masalah anda akan sedaya upaya cikgu selesaikan.

TUGASAN MINGGU 6 ( 8 - 12 FEB 2010) ESEI LARAS SAINS

Rabu, 10 Februari 2010

Pada minggu ini, para pelajar dikehendaki menyiapkan tugasan berkaitan tema : SUKAN. Cikgu harap pelajar-pelajar akan dapat mencari bahan-bahan untuk menjawab soalan yang telah diberikan kepada setiap kumpulan.

Senarai kumpulan dan soalan bagi setiap kumpulan sila rujuk di ruangan Laras Sains

TUGASAN MINGGU 5

Selasa, 9 Februari 2010

Para pelajar yang dihormat sekalian. Anda semua perlu menyiapkan tugasan yang cikgu berikan walaupun sibuk dengan aktiviti sukan. Tugasan yang perlu anda siapkan ialah:
a) Pembentangan Ulasan Jadual
b) Kuiz Kenegaraan berkaitan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan

Semua tugasan perlu dihantar selepas Tahun Baru Cina.

PENGUMUMAN PENTING DARIPADA PENGETUA

Ahad, 24 Januari 2010


Salam sejahtera. Semua guru, kakitangan sokongan dan pelajar diminta berkabung minggu depan. Untuk peraturan berkabung sila layari http://www.pmbj.gov.my/

Peraturan berkabung untuk guru, kakitangan dan pelajar:
PERATURAN BERKABUNG

(a) Bagi orang-orang Melayu hendaklah memakai tanda perkabungan kain putih berlilit selilit sahaja, selebar 2 inci pada songkok.
(b) Bagi lain-lain bangsa dan agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.
(c) Bagi mereka-mereka yang berhak memakai uniform dan pada majlis yang tertentu, selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri.
(d) Bagi perempuan Melayu, hendaklah memakai tudung kepala warna putih.
(e) Bagi orang-orang perempuan lain bangsa atau agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri.

TUGASAN MINGGU 4 ( 25 JAN - 29 JAN 2010)

Salam Sejahtera. Pada minggu lepas, para pelajar telah didedahkan teknik menukar Jadual ke bentuk teks. Para pelajar perlu membina jawapan berdasarkan 'teknik skema' sebagaimana yang cikgu cadangkan. Sila bertemu dengan pensyarah anda semasa tutorial untuk maklumat lanjut.

KULIAH MINGGU KE 4

Salam sejahtera. Kuliah minggu ini berkaitan Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Pelajar-pelajar boleh bersedia lebih awal dengan mencari bahan berkaitan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Pelajar juga boleh merujuk ke PERBANDINGAN KERAJAAN TEMPATAN DI MALAYSIA DAN INDONESIA. Selamat Belajar.

PERGINYA SEORANG SULTAN YANG DISAYANGI RAKYAT JOHOR

Sabtu, 23 Januari 2010

JOHOR BAHARU, 22 Jan — Sultan Johor Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 77, mangkat malam ini selepas memerintah Johor hampir tiga dekad.Baginda mangkat pada pukul 7.15 malam di Hospital Pakar Puteri di sini selepas dimasukkan ke hospital itu hari ini kerana gering.Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di sini malam ini.


Baginda meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.Sultan Iskandar, yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Baharu pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.Tiga tahun kemudian pada 15 Nov 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.

Pemasyhuran Sultan Johor yang baru akan dilaksanakan di Istana Besar Johor sebelum upacara pemakaman jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ismail Ibni Sultan Ismail di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah kira-kira pukul 2 petang, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan. — Bernama

TAHUKAH ANDA?


Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim

Sultan Ismail ibni Sultan Ibrahim (lahir 28 Oktober 1894 - mangkat 10 Mei 1981) . Baginda menjadi Sultan Johor dari 8 Mei 1959 - 10 Mei 1981, menggantikan ayahandanya, Almarhum Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar . Baginda dimahkotai sebagai Sultan Johor di Istana Besar, Johor Bahru pada 10 Februari 1960 dan merupakan Sultan Johor terakhir setakat ini yang ditabal dan dimasyhurkan dengan penuh rasmi. Baginda juga merupakan Canselor pertama Universiti Teknologi Malaysia apabila tertubuhnya universiti tersebut. Setelah mangkat 1981, baginda diganti oleh anakandanya, Sultan Mahmood Iskandar Al-Haj. Baginda dimakamkan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru

KEMANGKATAN SULTAN JOHOR

MESEJ INI BARU SAYA TERIMA PADA 23 JAN 2010 JAM 12.03AM



Salam TPPJ, KS, PPD, Pengetua dan Guru Besar. Dukacita dimaklumkan secara rasmi DYMM Sultan Johor telah mangkat malam tadi. Oleh itu sekolah dicutikan esok (Sabtu). Hari sekolah ganti akan ditentukan kemudian dan semua aktiviti dibatalkan. PPD tolong maklumkan kepada semua Pengetua dan Guru Besar dan minta untuk tampal makluman ini di pagar sekolah segera. Al Fatihah....

TUGASAN MINGGU 3 ( 18 JAN - 22 JAN 2010)

Selasa, 19 Januari 2010

Salam Satu Malaysia. Cikgu ucapkan tahniah kepada semua kumpulan kerana telah berjaya menyiapkan Tugasan Minggu 1. Minggu ini, tugasan Laras Sains berkaitan tema Penyakit Kronik. Kali ini anda akan dibahagikan kepada 5 kumpulan sahaja. Tajuk-tajuk berkaitan tema tersebut adalah seperti berikut:

1. Pencemaran dan perubahan cara hidup punca peningkatan penyakit kronik
2. Sakit Jantung
3. Alat moden punca penyakit kronik
4. Gaya hidup tidak sihat punca penyakit kronik
5. Penyakit Kencing Manis

Tarikh Pembentangan Tugasan 2 : 22 Jan 2010

TUGASAN MINGGU 2 (11 Jan - 15 Jan 2010)

Salam sejahtera. Pada minggu ini pelajar-pelajar dikehendaki menyiapkan tugasan berkaitan Tema Ekonomi. Tajuk-tajuk yang perlu anda kaji berkaitan tema tersebut adalah seperti berikut:
1. Ceti haram dan Along
2. Peranan Masyarakat Membendung Kenaikan Harga Barang
3. Kad Kredit

Tarikh Pembentangan : 15 Januari 2010.

GRAF YANG TIDAK POPULAR KELUAR DALAM STPM 2009

Isnin, 4 Januari 2010

Alhamdulilah, semua pelajar STPM 2009 telah selesai menduduki STPM 2009. Cikgu turut gembira kerana kedua-dua graf yang cikgu bincangkan dalam blog ini telah disoal dalam STPM 2009. Graf tersebut ialah Graf Bar Memesong / Cermin (Soalan 7) dan Graf Gabungan iaitu graf bar garis (12 bar 1 garis) untuk Soalan 8. Tahniah kepada semua pelajar yang menggunakan blog ini dan dapat menjawab dengan sempurna.

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

Jumaat, 1 Januari 2010

Cikgu ucapkan selamat kembali ke sekolah pada 4 Januari 2010. Pastikan anda telah bersedia untuk menghadapi semester baru. Pelbagai pembaharuan akan anda tempuhi seperti perubahan jadual pengajaran dan pembelajaran.

Mulai semester ini, anda akan diwajibkan menyertai Kokurikulum selama 4 jam. Kokurikulum akan dilaksanakan pada hari Rabu mulai jam 2.30 petang hingga 6.30 petang. Kolokium kali ke 2 akan diadakan secara individu. Semua pelajar diwajibkan menyertai kolokium kali ke 2. Kolokium akan diadakan pada hari Khamis mulai jam 2.30 petang hingga 4.30 petang.

Cikgu harap semua pelajar akan menerima segala perubahan dengan fikiran yang positif.
Jumpa lagi....

10 Tahun Bersama Cikgu hj Wahid Bilaji - Terima Kasih Cikgu! Slideshow: Razali’s trip from Johor, Malaysia to Kluang was created by TripAdvisor. See another Kluang slideshow. Create your own stunning slideshow with our free photo slideshow maker.
 
 
 

LAMAN PEMINAT

WADAH KECEMERLANGAN TINGKATAN 6

WADAH KECEMERLANGAN TINGKATAN 6
Majlis Perhubungan Pengetua Tingkatan 6 Johor